|
LAHIRNYA mereka sebagai pasangan kembar sudah cukup membuktikan betapa akrabnya pasangan kembar seiras, Nora'ashikin Rahmat (Ekin) dan Nora'ain Rahmat (Aain) ini.
Selama 30 tahun bersama sehinggalah pada hari pernikahan Aain, isteri kepada penyanyi terkenal, Mawi itu masih setia di sisi kembarnya, menemani sehinggalah selesai detik diijabkabulkan.
Aain diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati yang juga duda beranak tiga, Datuk Arif Ambrose Leonard Ng, 41, di Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor tepat pukul 12.30 tengah hari.
Berwalikan bapanya, Rahmat Mohamad, 50, pasangan tersebut dinikahkan dengan mas kahwin RM300 oleh Pendaftar Kanak Nikah, Cerai dan Rujuk, Pejabat Agama Daerah Petaling, Muhamad Sujak Mohd. Dasuki, 39.
Dengan sekali lafaz, Arif sah bergelar suami kepada Aain dan pasangan tersebut kelihatan berseri mengenakan pakaian sedondon putih daripada Cosry.
Tuah pasangan kembar popular ini, kedua-duanya ditemukan dengan jodoh di kalangan mereka yang berada.
Namun, melepaskan pasangan kembar yang menjadi 'kawan' sedari kecil sebagai seorang isteri tentu sahaja mengundang rasa gembira dan sayu buat Ekin.
Barangkali perasaan yang sama turut dikongsi oleh Aain pada saat Ekin diijabkabulkan dengan Mawi setahun lalu.
Bertemu Ekin sejurus selesai majlis pernikahan tersebut, selain ucapan gembira dan rasa syukur ke hadrat Ilahi, dia turut mendoakan kebahagiaan Aain di samping suami tercinta.
"Saya bersyukur pernikahan Aain berjalan dengan lancar. Walaupun sederhana namun segalanya berjalan dengan lancar.
"Apa yang saya harapkan semoga kebahagiaan mereka kekal hingga ke akhir hayat dan dikurniakan zuriat secepat mungkin.
"Harap mereka tabah mengharungi asam garam hidup berumah tangga malah, mampu menyelesaikan pelbagai masalah dengan baik," luah Ekin dengan nada ceria.
Pada majlis yang sama, turut bertukar-tukar dulang hantaran iaitu 11 dulang daripada Aain termasuk senaskhah al-Quran, telefon bimbit, coklat, buah-buahan, minyak wangi dan sepersalinan pakaian.
Arif pula membalas sembilan dulang hantaran termasuk senaskhah al-Quran, kek, telefon bimbit, tas tangan, alat solek dan sirih junjung.
Jelas terpancar kegembiraan pada wajah Aain ketika ditemui.
Jika sepanjang masa berada di dewan nikah dia ditemani rasa gementar dan gemuruh, kini, hari-hari yang dilalui berdepan tanggungjawab besar yang perlu digalas sebagai seorang isteri.
Bergelar isteri kepada Arif yang baru memeluk Islam pada Jun lalu, bukanlah semudah yang disangka.
Malah, kata Aain, dia perlu menjelaskan kepada suaminya agar mencintai Islam terlebih dahulu berbanding dirinya.
"Saya bercerita banyak perkara tentang Islam kepadanya termasuklah tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga dan juga seorang imam.
"Walau apa pun yang dilakukan, dia perlu tahu perkara-perkara baik dan buruk sebagai seorang Islam," katanya yang merancang mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka awal 2010.
Berkahwin dengan pasangan yang 11 tahun tua daripadanya tidak langsung menerbitkan kesukaran buat dirinya.
Malah, dalam berkomunikasi, kata Aain, ada keserasian dan pemahaman antara satu sama lain yang membuatkan mereka begitu senang bersama.
Selain kelakar, Arif juga disimpulkan Aain sebagai seorang yang mengambil berat dan memahami saya.
Bahkan, perbezaan usia 11 tahun juga tidak memberi sebarang masalah buat mereka berdua.
"Setakat ini, Alhamdulillah dia boleh sabar dengan kerenah saya. Malah saya bersyukur kerana bukan mudah nak bawa seseorang daripada agama lain ke agama kita.
"Ini merupakan pengorbanan terbesar yang dilakukan Arif untuk saya," katanya dalam nada penuh kesyukuran.
Masih belum menetapkan destinasi berbulan madu, Aain bagaimanapun, berhasrat membawa suaminya ke Mekah menunaikan umrah tidak lama lagi.
Bukan hanya sebagai seorang isteri malah, tanggungjawab berganda buat Aain apabila menjadi ibu kepada tiga anak Arif yang berusia antara tujuh hingga 16 tahun, hasil perkahwinan terdahulu.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dan tidak kisah menjadi ibu kepada anak-anaknya kerana itu adalah kehidupannya sebelum dia mengenali saya.
"Tentang anak kami pula, saya tidak merancang apa-apa bagaimanapun, jika ada rezeki memang saya mahukan anak secepat mungkin," katanya.
Bercerita tentang kerjaya seni, kata Aain, suaminya tidak menghalang sekiranya dia masih ingin meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon.
Bagaimanapun, bersama kembarnya, Aain merancang membuka cawangan kedai busana muslimah milik mereka yang selama ini diusahakan di Johor ke Wangsa Maju pula.
Nilai Aain tak terbanding
Tidak seperti kebanyakan pasangan lain, Arif hanya menyerahkan cek kosong kepada keluarga Aain yang dirasakannya berhak menentukan jumlah sebenar wang hantaran perkahwinan mereka.
"Bagi saya Aain tidak boleh dinilai. Kami berbincang dahulu berapa jumlah hantarannya nanti. Berapa pun nilainya, ia hanyalah sebagai simbol.
"Seperti juga dengan pernikahan kami, barangan hantaran tidaklah terlalu penting. Ia hanya sebagai satu simbol dalam perkahwinan kerana apa yang penting hati dan pernikahan," kata Arif yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Bercerita tentang isterinya, lelaki itu berkata, sikap Aain yang matang biarpun berbeza usia 11 tahun daripadanya serta penyayang membuatkan hatinya benar-benar tertarik.
"Kami memang banyak persamaan. Apabila keluar bersama pun saya langsung tidak berasa bosan bersamanya," ujar pengantin baru itu lagi.
Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, manggis.info
Tiada ulasan:
Catat Ulasan