18/12/09

Kisah seorang jaguh golf

Kisah seorang jaguh golf

Bintang golf bilionair, Tiger Woods selama ini ditonjolkan sebagai pemain yang handal serta suami yang baik sehinggalah beberapa minggu ini apabila siri skandal dan kontroversi mencemarinya.




Figura yang satu ini diibaratkan permata dalam sukan golf. Sebut sahaja Tiger Woods, siapa sahaja pasti terkenang lelaki berkulit hitam manis, tinggi lampai yang tidak lekang mengukir senyuman itu. Sepanjang lebih sedekad berkecimpung dalam sukan golf profesional, boleh dikatakan berita kejayaan dan kehebatannya terpampang saban hari.

Dipalit skandal yang memalukan akhir-akhir ini, kita lupakan cerita itu seketika. Ini kerana kisah hidup Woods juga tidak kurang menarik untuk ditelusuri bersama.

Woods pernah membanggakan orang kulit hitam apabila menjadi orang kulit hitam pertama yang dinobatkan pemain golf No.1 dunia. Dia juga merupakan pemain golf paling muda yang memegang gelaran itu. Ketika itu, dia baru berusia 21 tahun.

Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan, dialah yang melonjakkan nama sukan golf. Buktinya, cuba tanya pada diri anda, siapakah pemain golf yang anda ketahui? Mungkin hanya namanya sahaja yang terpacul di bibir.

Woods mencatat rekod apabila meraih 10 kali gelaran Pemain PGA of the Year dan pemenang Kejuaraan Golf Dunia sebanyak 16 kali. Dia memegang rekod memenangi 71 kejohanan PGA Tour dan 14 kejohanan utama.

Kejayaan dan sejarah yang ditempa pemilik nama sebenar, Eldrick Tont Woods itu mungkin dilihat luar biasa oleh masyarakat umum. Tetapi Woods, 33 mungkin sudah menyedari akan pencapaian hebat dan kedudukan tinggi yang bakal diraih sejak kecil lagi.

Bak kata pepatah, kesuburan benih boleh dilihat daripada tunjangnya. Diskrispsi pepatah itu amat sinonim dengan agenda kehidupan Woods yang sudah pun mahir bermain golf sejak berusia tiga tahun lagi. Apabila kebanyakan daripada kanak-kanak sebaya masih tidak pandai bertutur, Woods mula menonjol di kaca televisyen dengan aksi golf yang mengagumkan.

Popular sejak kecil

Dalam program televisyen, The Mike Douglas Show yang popular pada sekitar tahun 1978, Woods telah membalas balik pukulan golf pelakon komedi Bop Hope. Aksinya dalam program itu telah menarik para audiens dan menjadi pentas pertama untuknya.


WOODS selama ini ditonjolkan sebagai suami dan bapa yang baik.


Berasal dari Cypress, California, Amerika Syarikat (AS), Woods menikmati populariti hari ini hasil daripada usaha gigih kedua-dua ibu bapa, Earl Woods dan Kultida. Bapanya yang berbangsa Afrika-Amerika merupakan seorang bekas tentera AS yang banyak mengasah bakat Woods sejak kecil.

Semasa sesi latihan persendirian, Earl melatih Woods dengan latihan berbaur ketenteraan untuk meningkatkan tahap konsentrasi ketika berada di padang golf. Pendekatan penuh tegas dan keyakinan ibu bapa Woods kepada bakatnya akhirnya membuahkan hasil apabila Woods memenangi kejohanan sulungnya pada usia lapan tahun.

Seperti lelaki AS lain, Woods pun menjalani kehidupan yang biasa dan sederhana. Semasa kecil pada waktu lapang, Woods gemar menghabiskan masa dengan permainan video dan membuat lawak jenaka di hadapan kamera video kepunyaan bapanya. Apapun, golf merupakan titik fokus utama hidupnya di mana dia banyak merangkul kemenangan dalam kejohanan yang berlangsung ketika itu.

Usaha yang gigih itu, membuatkan Woods melanjutkan pelajaran di Universiti Stanford dengan pembiayaan biasiswa daripada pelbagai pihak berasaskan sukan itu. Selama dua tahun di universiti itu, Woods membina reputasi dengan memenangi Kejohanan Amatur AS dan melayakan diri ke kejohanan utama yang berlangsung di Georgia pada tahun 1995.

Pemain profesional

Ekoran limpahan kemenangan itu, ketika berusia 20 tahun Woods telah membuat keputusan untuk menamatkan pengajian di universiti dan menjadi pemain golf profesional sepenuh masa. Tidak lama kemudian, pada sambutan ulang tahun hari jadi yang ke-21, dia telah menukar nama sebenarnya Eldrick kepada Tiger.


SAAT-SAAT bahagia Woods dan isterinya, Elin Nordegren.
BAWAH: ANTARA dua wanita yang dikaitkan dalam skandal seks Woods iaitu Rachel Uchitel (atas) dan Cori Rist


Sebenarnya, sejak kecil lagi, bapanya memanggilnya Tiger sebagai tanda memperingati seorang kawan baik tentera dari Vietnam.

Hanya lapan bulan selepas mengorak langkah sebagai pemain profesional pada tahun 1997, Woods berpeluang bermain dalam kejohanan paling prestij dan penting yang berlangsung di Kelab Golf Kebangsaan Augusta, Georgia. Dia juga telah menjuarai kejohanan itu dan melakar sejarah sebagai pemain muda yang merangkul gelaran juara itu.


REPUTASI Woods kini tercalar akibat skandal seks dengan 11 wanita.


Kejayaan hebat Woods sama sekali mengubah persepsi sukan itu yang didominasi oleh orang putih. Impak daripada kemenangan Woods membuatkan ramai lagi pemain-pemain muda daripada kumpulan minoriti lain semakin ghairah menceburi sukan golf.




Kemenangan yang berterusan itu turut mengukuhkan kedudukan kewangan Woods. Setakat ini jumlah wang terkumpul yang diperolehi melalui sukan golf berjumlah AS895 juta (RM3.18 billion). Ini termasuk hasil daripada penajaan, yuran pelesenan, yuran kemunculan, penjualan buku, baju dan khidmat nasihat dalam pembinaan padang golf. Majalah ForbesOktober lalu melaporkan Woods ialah ahli sukan pertama bergelar bilionair.

Walau bagaimanapun, bapa kepada dua orang anak itu, lebih gemar merendah diri dan tidak mengagung-agungkan kejayaan yang dicapai di khalayak ramai. Woods pernah berkata, keluarga ialah segala-gala baginya.

Perjalanan hidup Woods memasuki satu episod baru apabila dia berkahwin dengan kekasih lamanya, Elin Nordegren yang merupakan seorang model dari Sweden pada tahun 2004. Pasangan itu dikurniakan dengan dua orang anak Sam Alexis berusia tiga tahun dan Charlie Axel yang dilahirkan pada Februari lalu.

Sebagai bintang golf yang bertaraf bilionair, Woods menonjolkan imej sebagai anak, suami dan bapa yang baik serta menjadi contoh kepada masyarakat umum.

Skandal

Namun, imej bersih yang ditonjolkan dengan penuh cermat selama ini tercemar baru-baru ini. Episod populariti dan kejayaan hebat yang terpapar sekian lama telah berakhir dalam sekelip mata gara-gara beberapa siri skandal seks.

Setakat ini, watak-watak yang terbabit dalam siri itu melibatkan pelayan kelab malam, pelakon porno dan sebagainya.

Kisah skandalnya mula terbongkar apabila 'sesuatu yang tidak kena' berlaku pada 27 November lalu. Woods terlibat dalam satu kemalangan. Kenderaan SUV yang dipandunya telah hilang kawalan di luar rumahnya lalu merempuh pili bomba dan sebatang pokok milik jirannya di Florida.

Oleh sebab itu, Peronda Lebuh Raya Florida (FHP) telah menyiasat punca kemalangan tersebut manakala pegawai FHP gagal memperoleh penjelasan daripada Woods dan isterinya kerana keengganan mereka mengadakan pertemuan itu.

Akhirnya, dia hanya dikenakan denda sebanyak AS$164 (RM553) kerana memandu dengan cuai. Spekulasi kemalangan itu semakin memuncak apabila tiba-tiba Woods dikaitkan mempunyai skandal seks dengan seorang pengurus kelab malam, Rachel Uchitel oleh akhbar National Enquirer.

Ini diikuti pula dengan insiden Woods yang terpaksa menarik diri dari kejohanan Chevron World Challenge yang berlangsung baru-baru ini. Pengunduran itu sama sekali mencetus spekulasi bahawa Woods sebenarnya bergaduh dengan isterinya berhubung khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan Uchitel.

Woods pada awalnya menafikan gosip yang mencalar imej dirinya.

Namun, tidak lama kemudian, Woods mengaku berlaku curang terhadap isterinya dan berdepan dengan skandal bahawa dia meniduri 11 wanita semasa rumah tangga mereka berusia lima tahun.

"Sebagai manusia biasa, saya mengakui bukan seorang yang sempura. Saya tidak bebas daripada sebarang kesilapan dan menyesal dengan sepenuh hati kerana melukakan hati keluarga.

"Saya akan cuba untuk berubah sebagai suami dan bapa yang diperlukan keluarga," akui Woods tentang skandal itu dalam laman web peribadinya.

Ekoran skandal tersebut Woods juga bakal kehilangan pendapatan akibat firma perunding Accenture secara rasmi menarik balik tajaan mereka.

Siapa sangka, perjalanan hidup yang bahagia dan reputasi jaguh unggul sukan golf itu kini bagai di ambang kemusnahan. Ekoran porak peranda teruk yang berlaku dalam rumah tangganya, akhirnya Woods telah kehilangan segala-galanya iaitu kedudukan, karier, keuntungan dan mungkin keluarganya.

Isterinya, Elin kini tidak lagi kelihatan memakai cincin perkahwinan dan ada spekulasi mengatakan Elin ingin berpindah dan mungkin menuntut penceraian.

Minggu lalu, Woods dilaporkan telah mengumumkan untuk meletakkan 'titik noktah sementara' daripada sukan golf.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

Tiada ulasan: