17/12/09

Takdir Zizie hidup bermadut




LEBIH 20 tahun mengenalinya sebagai seorang pelakon, jarang sekali ada cerita panas tercalit dalam sejarah kerjaya pelakon yang cukup terkenal dengan imej 'putih melepak' ini.

Pernah melalui musim cinta remaja yang cukup indah dengan penyanyi Seribu Impian dan Jangan Ada Benci, Casey, Zizie Ezette ketika itu masih terlalu muda untuk mentafsir cinta sehinggalah membuat keputusan meninggalkan cinta pertamanya itu.

Beberapa tahun mengubat lara, kudus cinta Zizie hinggap dalam kamar hati seorang ahli perniagaan yang pernah 'menggegarkan' industri perbankan negara belasan tahun sudah.

Pun setelah menganyam cinta lebih 7 tahun, Zizie sekali lagi gagal mempertahankan cintanya, lalu musnahlah impian bergelar isteri kepada seorang lelaki yang dicintai sepenuh hati.

Kelmarin kepada saya, Zizie sekali lagi mengaku hatinya kini dicuri lagi. Apa yang datang kepadanya kali ini bukan lelaki bujang, sebaliknya suami orang, cukup dikenali dan punya status tinggi di kalangan masyarakat.

Tanpa menyebut secara berterus terang lelaki dimaksudkan, di situ juga dilema seorang Zizie Ezette bermula.

Menurut Zizie, dia beberapa kali sedaya mungkin berusaha menolak cinta lelaki yang sudah beristeri, tetapi kalam tuhan tetap membuahkan 'rasa itu' kepada golongan berkenaan, yang kemudian menghantar lamaran memperisterikannya.

"Apa yang kita elak, kita tak mahu, kita benci, akhirnya itulah yang Allah datangkan kepada kita. Sebagai hamba Allah, apa lagi yang saya boleh katakan kalau memang sudah ditetapkan jodoh kita dengan lelaki yang sudah beristeri?" kata Zizie meluahkan krisis dalaman hatinya apabila bertembung dengan cinta suami orang.

kosmo! titipkan perbualan kami pada petang Selasa lalu, tentang realiti terbaru hidup wanita 31 tahun ini yang dikatakan bakal menjadi isteri baru kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar dalam waktu terdekat ini.

Benarkah Zizie dan si dia sudah berkahwin?

Kahwin? Aduhai! Belum kahwin lagi. Tetapi saya tidak nafikan sedang mengenali hati budi seorang lelaki, cuma belum sampai ke tahap sudah berkahwin. Saya pun masih dalam pertimbangan untuk menerima atau tidak lamaran itu.

Jadi sekarang ini Zizie mengakulah sedang bercinta dengan Ahli Parlimen berkenaan?

Zizie tahu siapa orang yang anda maksudkan. Beginilah, apa yang boleh saya katakan, segalanya masih dalam pertimbangan lagi. Setakat hari ini saya masih solo, dan saya perlu membuat banyak pertimbangan sama ada menerima atau tidak lamaran itu. Banyak hal kena fikir sebab saya tak boleh lihat dalam diri saya semata-mata, sebaliknya dalam keadaan sekarang banyak hati lain kena dijaga.


DI USIA 31 tahun, Zizie mencari lelaki terbaik untuk membimbingnya ke alam rumah tangga.


Siapakah lelaki bertuah yang melamar itu?

Sila siasat sendiri, saya tak boleh beritahu. (Ketawa).

Apakah benar lelaki yang melamar itu ialah Datuk Bung Moktar?

Maaflah, saya tak mahu sebut nama sesiapa di sini. Tak elok sebab banyak hati yang kita kena jaga tambahan pula ini membabitkan lelaki yang sudah punya keluarga. Sebagai wanita, saya pun kena fikir hati dan perasaan orang lain kalau bercakap. Lagi pun Zizie orang perempuan, tak sesuai cakap hal-hal macam ini.

Kenapa Zizie tidak saja menafikan, Bung Moktar adalah lelaki berkenaan?

Macam yang saya kata, saya tak mahu babitkan nama sesiapa. Mana yang tahu, tahulah siapakah dia. Saya minta maaf, tetapi bukan niat saya hendak sembunyi apa-apa. Saya harap semua pihak faham bahawa menerima lamaran daripada suami orang bukan satu perkara yang wajar dibangga-banggakan. Kalau lamaran itu datang daripada lelaki bujang, mungkin saya akan gembira dilamar, tetapi dia lelaki yang sudah ada keluarga, jadi saya kena jaga banyak benda. Hendak bercakap pun kena tapis juga sebab banyak hati kita kena jaga sekarang ini.

Kononnya Zizie dan pasangan akan bernikah dalam waktu terdekat, maksud saya musim cuti sekolah ini, benarkah?

Orang lain boleh cakap apa saja, dan apa yang saya boleh cakap ialah saya masih mempertimbangkan lamaran itu. Saya tak mahu apa yang keluar daripada mulut saya akan mencetuskan spekulasi lagi. Harap sangat orang akan faham. Kita kena faham perasaan seorang isteri, kalau cerita tentang suami mereka mahu kahwin lain ditulis di akhbar, tentu tak sesuaikan? Apatah lagi kalau lelaki yang dimaksudkan itu orang yang dikenali dalam masyarakat, banyak kesan negatif di kemudian hari.


SETELAH beberapa kali kecewa cinta dengan lelaki bujang, Zizie menerima lamaran daripada suami orang.


Apakah Zizie mencintai 'lelaki' itu?

Jujur juga saya katakan. I don't believed in love anymore. Setelah beberapa kali putus cinta, saya sudah serik untuk berhadapan dengan cinta yang baru. Tetapi kehidupan perlu diteruskan dan akhirnya saya membuka hati untuk lelaki baru tanpa memandang harta dan kedudukan. Tetapi urusan jodoh semuanya terletak pada Allah, saya tak boleh cakap kerana Dia yang menentukan. Lagipun saya artis, macam-macam orang akan cakap kalau terjebak dengan suami orang. Lebih banyak yang melihat artis daripada sudut negatif.

Sejujurnya, Zizie sedia bermadu?

Tolong bagi tahu saya, siapa yang hendak berkahwin dengan suami orang? Sepanjang hidup, sudah banyak kali saya mengelak bercinta dengan suami orang sebab tak mahu melukakan hati wanita lain. Tetapi kalau itu jodoh yang tuhan berikan kepada saya, apa yang saya boleh buat lagi? Saya pernah bercinta dengan lelaki bujang, tetapi kami tidak berjodohan, jadi sekarang saya serahkan segalanya kepada takdir sajalah.

Dalam pencarian bergelar isteri, lelaki bagaimana yang Zizie cari?

Saya mencari lelaki yang boleh mendidik, membimbing saya. Ikhlas mencintai saya dan boleh memimpin dengan baik supaya kita hidup sebagai manusia yang lebih baik di masa depan. Apa yang penting, niat kita ikhlas dan lain-lain hal saya hanya berserah kepada Allah.

Sumber: Utusan Malaysia untuk tujuan dokumentasi. Pautan:Syafrein.com, Dompas Network, Guided-Info.com, dan Artikel Sentral, Catatan Sekilas, Perkahwinan, Tokoh, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, Manggis.info

Tiada ulasan: